Rabu, 27 Julai 2011

Madinah Munawwarah - Kelebihan dan Sejarah.

Assalamualaikum semua ,

Pada catatan kali ini, penulis nak mengupas sebuah buku yang telah  penulis baca iaitu:

 Tajuk         :  "Madinah Munawwarah - Kelebihan dan Sejarah"
Karangan    : Dr Abdul Basit Abdul Rahman.
Terbitan      :  Telaga Biru Sdn Bhd
Harga         :  RM 30.00 (Sem. Malaysia)
Halaman     :  248 mukasurat
 Madinah Munawwarah dan Makkah Al Mukarramah memang cukup sinonim jika kita mengerjakan ibadah haji dan umrah. Penulis terpanggil untuk membaca buku berhubung Makkah  dan Madinah ini selepas kembali dari mengerjakan Umrah pada 22 Mac - 5 April 2011 lalu. Perasaan cinta dan rindu yang mendalam di kedua-dua tempat ini menyebabkan penulis telah membeli buku berkaitan untuk mengetahui dengan lebih lanjut kelebihan dan sejarah kedua-dua tempat ini.

Pada catatan kali ini penulis nak mengupas berhubung Madinah ( catatan akan datang berhubung Makkah pula.)

Madinah dalam sebuah hadis Sahih Bukhari no 3926, sahih Muslim no 1376

"Ya Allah, jadikanlah kami mengasihi Madinah sebagaimana kami mengasihi Makkah atau lebih lagi dan sihatkan Madinah (daripada wabak penyakit) dan berilah keberkatan kepada gantang dan cupaknya serta pindahkan humma (penyakit) di Madinah dan jadikanlah ia di Juhfah"

Nama asal Madinah sebelum hijrah Rasulullah SAW ialah Yathrib yang diambil sempena nama pengasasnya iaitu Yathrib bin Qaniah daripada keturunan nabi Nuh a.s. Yathrib ini di dalam Al Quran dirujuk sebagai golongan munafikun. Terdapat berberapa hadis yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang umat Islam dari menggunakan nama Yathrib kerana Yathrib berasal dari perkataan yang membawa maksud kerosakan, membalas dendam , mencerca atau mengeji.

Madinah juga merupakan tanah haram sepertimana Makkah. Jika Makkah doa supaya Makkah dilindungi oleh Nabi Ibrahim, Madinah pula di doakan keberkatannya pula oleh Junjungan besar Kita Nabi Muhammad SAW.

Kelebihan Madinah adalah Rasulullah mendoakan kesihatan penduduk Madinah sehinggakan adalah makruh mencuci buah-buahan yang jatuh ketanah Madinah untuk dimakan kerana dikatakan tanah dan debu Madinah mempunyai ciri-ciri pengubatan penyakit.

Selain dari itu Madinah bebas dari ancaman kezaliman dan maksiat dan kelebihan mati di Madinah adalah dikatakan akan masuk Syurga., Madinah juga terpelihara dari ancaman dajal dan wabak taun.

Hukum tanah haram Madinah adalah mencakupi haram menangkap binatang buruan dan memotong pokok. Membawa senjata, mengambil barang tercicir, membunuh ular dan melintasi orang bersolat (tapi yang ini susah nak dielakkan). Penulis sendiri mengalaminya. Kita juga disunatkan untuk berselawat semasa dalam perjalanan ke tanah haram Madinah dan diperbanyakkan lebih lagi sewaktu berada di tanah haram Madinah agar hati kita menjadi dekat dengan junjungan kita.

Bagi orang yang ikhlas berselawat, kesannya adalah apabila ia menziarahi makam Rasulullah, air mata memang tidak dapat di bendung lagi dan akan bercucuran dengan sendirinya menunjukkan betapa kasihnya kita kepada Rasulullah dan moga kita mendapat syafaatnya. Insya Allah.

Masjid Nabawi juga mengalami beberapa kali perubahan dari segi saiznya dan terkini boleh menampung lebih 1 juta umat Islam seluruh dunia. Disini juga terdapat makam Rasulullah dan sahabat beliau Abu Bakar dan Usman selain dari sahabat dan ahli keluarga beliau yang lain. Disunatkan ziarah dan digalakkan solat di raudhah kerana tempat yang dimakbulkan doa.

Antara tempat lain yang boleh dilawati adalah perkuburan baqi', bukit Uhud dan berberapa Masjid seperti Quba, al Jumu'ah, Al Qiblatain, Al Tarh dan lain lain lagi. Dibukit Uhud terdapat kubur penghulu Syuhada iaitu Singa Allah, Hamzah bin Abd Mutalib iaitu bapa saudara Rasulullah yang terkorban semasa perang Uhud. Sehingga Nabi pernah bersabda "melawat kubur Hamzah adalah kunci kepada melawat makam ku"

Selain dari itu, tamar di Madinah dikatakan yang terbaik dari tamar yang ada diseluruh dunia kerana di sini juga terdapat tamar Ajwa atau dinamakan kurma nabi yang ditanam sendiri oleh Rasulullah. Ini adalah kerana keberkatan tanah haram Madinah yang dikatakan mempunyai pengubatan. Masya Allah.

Rakan-rakan sekelian, lihatlah betapa besarnya Kebesaran Allah. Bagi sesiapa yang ingin membaca lebih lanjut digalakkan mendapatkan buku ini. Tidak rugi membacanya dan jika ingin ke Madinah boleh membaca dulu dan kemudian saksikan sendiri kebenarannya. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan